
Bagaimanapun, seorang lagi peguam berkata, siasatan baru perlu diadakan untuk mengelakkan komplikasi lanjut.
M Visvanathan berkata, peguam negara yang juga pendakwa raya, boleh mengarahkan koroner membuat siasatan lanjut.
“Ini diperuntukkan di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah.”
Beliau, yang mewakili keluarga mangsa maut di bawah tahanan polis, berkata inkues sekadar siasatan dalaman dan bukannya perbicaraan untuk menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya.
Visvanathan berkata demikian selepas polis mencadangkan inkues baru ke atas kematian Adib berikutan kecederaan yang dialaminya semasa rusuhan di Subang Jaya 2 tahun lepas.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memberitahu Dewan Rakyat, cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas.
Hamzah, ketika menjawab pertanyaan 3 ahli Parlimen mengenai perkembangan terkini kes Adib, berkata kerajaan akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan tidak timbul lebih banyak persoalan.

Visvanathan berkata, beberapa saksi yang memberikan keterangan di depan Koroner Rofiah Mohamad dilihat menarik balik kenyataan mereka kepada polis.
“Saksi-saksi ini perlu dipanggil semula untuk koroner membuat keputusan.”
Visvanathan memetik kes P Karuna Nithi yang inkuesnya dibuka semula pada 2017, walaupun Koroner Jagjit Singh mempertahankan keputusannya.
Jagjit pada 2015 memutuskan polis dan banduan bertanggungjawab ke atas kematian seorang penganggur yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan 2 tahun sebelumnya.
Sementara itu, SN Nair berkata, peguam negara boleh mengadakan siasatan baru untuk menentukan bagaimana Adib meninggal dunia dengan mengetepikan keputusan Rofiah.
“Tidak seperti rayuan jenayah atau sivil, tiada tempoh masa untuk mengetepikan keputusan koroner kerana tidak ada orang yang didapati bersalah atau bertanggungjawab.”
Beliau berkata, cadangan Visvanathan mempunyai merit, tetapi untuk meneruskan siasatan akan menimbulkan banyak cabaran undang-undang pada masa depan.
“Jalan untuk membuka semula kes ini mungkin dipenuhi cabaran oleh pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan itu,” kata Nair.
Adib, anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.
Pada 27 Sept 2019, Rofiah memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah lebih 2 atau 3 individu tidak diketahui ketika rusuhan berlaku.
Rofiah dilaporkan berkata, kecederaan “blunt chest trauma” yang dialami Adib bukan akibat perbuatan dirinya atau kemalangan.
Oleh itu, mahkamah menyerahkan kepada polis dan peguam negara untuk melakukan siasatan lanjut serta pendakwaan.
Rofiah menolak bukti pakar forensik, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang melakukan bedah siasat dan memberitahu mahkamah beliau mendapati kecederaan yang dialami Adib tidak sepadan tindakan ganas.
Hafizam juga memberitahu mahkamah, Adib dilanggar jentera bomba yang dihantar ke tempat kejadian.
Rofiah sebaliknya menerima keterangan pensyarah fizik UiTM, Amir Rafzi Ab Ghani yang berkata, Adib ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Berdasarkan keputusan Rofiah, polis memulakan siasatan atas arahan Jabatan Peguam Negara dan mengumpul bukti yang kemudiannya diserahkan kepada pendakwa raya.
Bulan lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mencadangkan penubuhan pasukan petugas untuk mengkaji keterangan pakar patologi yang meneliti kematian Adib.