
Sebuah rumah di China mendapat tarikan orang awam apabila terletak di tengah-tengah lebuh raya selepas pemiliknya enggan menjual rumah tersebut kepada pihak kerajaan.
Rumah ini salah satu daripada banyak contoh “rumah degil” yang terdapat di China, di mana pemiliknya menolak pampasan daripada pihak pemaju.
Beberapa keping gambar menunjukkan rumah yang diapit oleh dua lorong yang melintasi Jambatan Haizhuyong, yang baru dibuka di kota metropolitan Guangzhou, Provinsi Guangdong.
Rumah satu tingkat itu berukuran 40m persegi dan terletak betul-betul di tengah lebuh raya 4 lorong, lapor stesen TV Guangdong.
Pemilik rumah itu, yang dikenali dengan nama Liang, menyatakan dia tidak mahu berpindah kerana rumah ganti yang ditawarkan oleh pemerintah tidak berada di lokasi yang ideal.
“Anda fikir persekitaran ini buruk, tetapi saya merasa tenang, bebas, menyenangkan dan selesa,” katanya seperti dilaporkan Daily Mail.
Beberapa sumber dalaman memberitahu stesen tv tersebut Liang didakwa meminta 4 pangsapuri sebagai ganti untuk dia berpindah, tetapi hanya dijanjikan 2.
Manakala dakwaan lain pula menyatakan Liang ditawarkan satu tempat tinggal yang berada di sebelah tanah perkuburan dan disebabkan itu dia enggan untuk berpindah.
Liang adalah satu-satunya orang yang masih tinggal di sana.
Sebelum ini, terdapat sejumlah 47 isi rumah dan 7 syarikat di daerah ini.
Mereka semua telah berpindah dari situ bermula dari bulan September 2019, manakala Liang masih berkeras untuk kekal di sana.
Pihak berkuasa juga mengakui menawarkan kepada Liang banyak pilihan pangsapuri dan juga skim pampasan tunai, tetapi dia menolak semuanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]