Kluster Sivagangga: Kerajaan kuat kuasa Temco di 2 kampung di Perlis

Kluster Sivagangga: Kerajaan kuat kuasa Temco di 2 kampung di Perlis

PKPD secara bersasar di kawasan terbabit bermula dari 10 Ogos sehingga 31 Ogos 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis melibatkan 191 buah rumah dan 872 penduduk. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketat bersasar secara pentadbiran (Temco) di 2 kampung di Perlis bermula hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil selepas penularan kes jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

“Mengambil kira kes aktif yang berpunca daripada kluster Sivagangga di Sanglang, Perlis, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD bersasar secara pentadbiran (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

“PKPD secara bersasar di kawasan tersebut bermula dari 10 Ogos sehingga 31 Ogos 2020 dan melibatkan 191 buah rumah dengan 872 penduduk.

“Pelaksanaan Temco akan mengguna pakai SOP sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ismail berkata, pergerakan keluar masuk penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan Temco adalah dilarang.

“Premis perniagaan di bawah perkhidmatan pelu dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Trmco dan masa operasi dihadkan dari jam 8 pagi sehingga 6 petang

“Pergerakan di dalam kawasan Temco adalah dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan Temco juga ditutup.

“Aktiviti keagamaan di masjid dihadkan secara bersyarat, manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Petugas Kementerian Kesihatan akan melakukan ujian saringan ke atas semua penduduk di dalam kawasan Temco,” katanya.

Tiada larangan rentas negeri di Perlis, Kedah

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, setakat ini kerajaan belum melaksanakan sekatan perjalanan rentas negeri susulan penularan kluster Sivagangga membabitkan Kedah dan Perlis.

“Kita tidak lagi hadkan pegerakan seluruh negeri. Fokus kita bersasar, jika ada kes positif kawasan itu kita sekat pergerakan mereka tidak boleh keluar dari kawasan kita laksanakan (Temco), bukan seluruh Kedah atau seluruh Perlis,” katanya.

Ismail turut memaklumkan, polis menangkap 222 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, 49 individu direman, manakala 5 dijamin dan 168 lagi dikenakan kompaun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.