15 kes import, 6 jangkitan tempatan Covid-19

15 kes import, 6 jangkitan tempatan Covid-19

Tiga daripada kes jangkitan tempatan itu membabitkan kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah.

PETALING JAYA:
Jumlah kes Covid-19 kembali kepada 2 angka hari ini membabitkan 15 kes import dan 6 jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, semua 21 kes baru itu membabitkan warganegara.

Katanya, 15 kes import itu membabitkan rakyat Malaysia di Kuala Lumpur yang pulang dari Yaman (12 orang) dan masing-masing seorang dari Papua New Guinea, Ivory Coast serta United Kingdom.

“Mereka diasingkan di pusat kuarantin selepas tiba di KLIA, justeru mereka tidak membawa risiko jangkitan kepada
masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 196 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 2 daripadanya di unit rawatan rapi, tetapi tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 18 pesakit sembuh hari ini dan jumlah kematian kekal 125 orang.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,023 kes Covid-19 dengan 8,702 daripadanya sudah sembuh.

Hisham berkata, 3 kes jangkitan tempatan itu membabitkan kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah, 2 kes di Sabah, iaitu saringan pra-pembedahan di Hospital Queen Elizabeth serta pra-prosedur di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, dan satu lagi kes pra-pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata, 24 daripada 1,647 orang yang disaring dalam kluster PUI Sivagangga setakat 12 tengah hari tadi didapati positif Covid-19, 754 negatif dan 869 masih menunggu keputusan.

Katanya, 19 daripada 24 individu positif virus itu ialah warganegara dan selebihnya warga asing.

Tiga kes baru hari ini daripada kluster itu dikenal pasti melalui saringan kontak rapat yang merupakan kes generasi ke-2.

Katanya, 2 daripada kes itu ialah anak kepada pesakit ke-9,000 dengan seorang daripadanya mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai lalu, tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Beliau berkata, kes ke-3 ialah kontak rapat kepada pesakit ke-8,976 yang dirawat di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim selepas mengalami gejala demam serta saluran pernafasan pada 2 Ogos lalu.

Hisham turut menggesa orang ramai tidak menyebarkan mesej palsu mengenai “maklumat terperinci” kawasan dikunjungi seorang daripada pesakit kluster itu.

“Tindakan pengesanan kes secara aktif akan diteruskan dan situasi semasa akan dimaklumkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.