SPR siap sedia untuk pilihan raya Sabah sementara tunggu keputusan mahkamah

SPR siap sedia untuk pilihan raya Sabah sementara tunggu keputusan mahkamah

Pemangku Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata tidak menjadi masalah untuk menjalankan pilihan raya dalam suasana pandemik.

Pemangku pengerusi SPR Azmi Sharom berkata menjadi tanggungjawab suruhanjaya itu untuk meneruskannya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus melakukan persiapan untuk pilihan raya negeri Sabah sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung tuntutan yang mahu menghentikan pilihan raya.

Permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan SPR untuk mengadakan pilihan raya difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu.

Seorang peguam dan 2 ahli perniagaan di Sabah berkata pilihan raya tidak boleh diadakan ketika negara sedang berdepan ancaman wabak Covid-19, dan juga sementara rayuan Adun Umno Musa Aman untuk diisytiharkan sebagai ketua menteri yang sah sedang menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan.

Pemangku pengerusi SPR Azmi Sharom berkata suruhanjaya itu akan meneruskan persiapan sementara menunggu keputusan mahkamah. “Kita kena teruskan, itu tanggungjawab kita,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata “tidak menjadi masalah” untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam suasana pandemik kerana SPR baru-baru ini mengendalikan pilihan raya kecil di Chini, Pahang, dan akan mengadakan pilihan raya kecil Slim di Perak akhir bulan ini.

Terdapat 73 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah, dan ia akan melibatkan lebih banyak sumber dan kos yang lebih besar. Namun, Azmi berkata yang penting ialah protokol kebersihan dan keselamatan sudah ada.

“Sekarang kami berusaha untuk memastikan logistik sudah ada, kami akan memaklumkan orang ramai mengenai tarikh secepat mungkin.”

Pilihan raya Sabah bakal diadakan berikutan pembubaran DUN susulan krisis politik yang berlaku di negeri itu, dan mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bermula 30 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.