Lelaki ditahan miliki 12 pokok ganja, 58 peluru

Lelaki ditahan miliki 12 pokok ganja, 58 peluru

Polis turut menyita 2 pacuan empat roda dan sebuah motosikal mewah yang keseluruhannya bernilai RM205,000.

Zaini Jass (kanan) menunjukkan pokok ganja yang ditanam suspek di belakang rumahnya di Tawau semalam.
KOTA KINABALU:
Seorang ahli perniagaan ditahan polis kerana memiliki 12 pokok ganja dan 58 peluru dalam serbuan di Tawau semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 5.30 pagi Isnin di rumahnya di Taman Mega Ria, Batu 3, Jalan Air Panas.

Katanya, polis merampas 12 pokok ganja yang ditanam di belakang rumah suspek dan menyita 2 pacuan empat roda serta sebuah motosikal jenis Harley Davidson yang keseluruhannya berjumlah RM205,000.

“Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah suspek menemui plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat kasar 29.52g.

“Turut ditemui dalam bilik tidur suspek beberapa kotak berisi 58 butir peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mendapatkan benih ganja itu dari Selangor.

“Suspek kini direman sehingga 10 Ogos mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) akta sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.