16 pesakit sembuh atasi 1 kes baru Covid-19

16 pesakit sembuh atasi 1 kes baru Covid-19

Tiada pesakit dirawat di ICU atau memerlukan bantuan pernafasan.

PETALING JAYA: Hanya satu kes baru Covid-19 dilaporkan berbanding 16 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan keseluruhan 9,002 kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia, dengan 8,684 daripadanya sudah sembuh dan 193 pesakit masih dirawat di seluruh negara.

Jumlah kematian kekal 125 kes kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru itu ialah jangkitan tempatan membabitkan seorang warganegara yang menjalani saringan severe acute respiratory infection (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Katanya, tiada pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) atau memerlukan bantuan pernafasan

Sementara itu, Hisham menafikan penyebaran berita palsu di media sosial yang Kementerian Kesihatan mengarahkan ibu bapa dan pelajar pernah bercuti di Kubang Pasu, Kedah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Seperti yang diumumkan KKM, individu yang perlu menjalani saringan Covid-19 adalah mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

“Penduduk yang berada di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran (Temco) di 4 mukim di Kedah, iaitu Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Padang Terap.”

Hisham berkata, mereka yang pernah makan di Restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu atau berurusan dengan pemilik dan pekerja premis itu juga perlu menjalani saringan Covid-19.

“Pelanggan atau orang yang singgah makan atau berurusan dengan kes indeks kluster ini atau dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut dari 13 hingga 27 Julai lalu.

“(Seterusnya), mereka yang mempunyai gejala demam atau saluran pernafasan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.