
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan memerlukan dana tambahan untuk teknologi itu yang sudah diguna pakai di Australia.
“Kita lihat di kebanyakan negara, mereka menggunakan teknologi di mana, kalau kita ‘scan’ telefon bimbit bila masuk ke ‘airport’, pengimbas itu akan tunjukkan bahawa mereka ini ada menyimpan pornografi atau bahan lucah kanak-kanak.
“Tapi, di Malaysia kita belum ada lagi kerana kita tidak ada bajet lagi untuk memohon kebenaran tersebut,” kata ahli Parlimen Padang Besar itu.
Beliau menyarankan penggunaan dana yang diperuntukkan untuk memperbaiki internet di luar bandar untuk membeli teknologi canggih tersebut, namun ia bergantung kepada kerajaan untuk memberi kebenaran.
Beliau menjawab Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), yang bertanya apakah kerajaan akan melabur dalam teknologi yang sama.
Kasthuri memetik kes Richard Huckle, pedofilia warga Britain yang ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014 menerusi hasil perkongsian maklumat pihak berkuasa Australia.
Dia disabitkan dengan 71 pertuduhan melakukan penderaan seksual melibatkan sehingga 200 kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014 ketika bergelar guru dan jurugambar di Malaysia.