Pemakaian pelitup muka tidak wajib di rumah dan kenderaan sendiri

Pemakaian pelitup muka tidak wajib di rumah dan kenderaan sendiri

Bagaimanapun Ismail menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan perkara itu berikutan terdapat individu yang dikompaun polis kerana tidak memakai pelitup muka dalam kenderaan persendirian.
KUALA LUMPUR:
Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di rumah dan dalam kenderaan persendirian

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan perkara itu berikutan terdapat individu yang dikompaun polis kerana tidak memakai pelitup muka dalam kenderaan persendirian.

“Kita sudah bincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk batalkan saman tersebut. Mereka yang sudah bayar saman itu, boleh tuntut semula,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau turut menjelaskan, jika tempat awam seperti di padang bola dan ada penjarakan fizikal, orang ramai tidak perlu memakai pelitup muka.

“Sebab itu kita kata tempat awam yang bersesak (perlu pakai pelitup muka).

“Kalau kawasan luas, tidak diwajibkan. Kalau kawasan luas, tepi pantai, dia seorang saja duduk di tepi pantai itu. Kalau ikut peraturan wajib pakai, sebab tempat awam.

“Sebab itu disebutkan tempat awam yang bersesak. Kalau dia seorang takkan kena saman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Ismail turut menjelaskan, bermula 1 Ogos lalu pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam pengangkutan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-panggilan, LRT, KTM dan tempat awam yang sesak.

Katanya, antara tempat awam yang sesak adalah pasar awam, pasar tani, pasar malam dan pasar raya.

“Tempat tumpuan pelancong serta panggung wayang juga telah ditetapkan sebagai tempat awam yang sesak,” katanya.

Ismail berkata, pemakaian pelitup muka juga tidak wajib bagi kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah.

“Tetapi untuk jaga keselamatan anak kita, adalah lebih baik tidak bawa anak kecil di kawasan awam. Takut kepada jangkitan,” katanya.

Kuarantin wajib

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerajaan menetapkan untuk membuat pengecualian bayaran kos kuarantin bagi pelajar yang tamat tempoh pengajian.

Katanya, jika pelajar terbabit ditaja agensi kerajaan, badan penaja akan menanggung kos kuarantin.

“Bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang pulang dari luar negara, mereka boleh memohon pengecualian dan proses verifikasi akan dilakukan melalui data sedia ada Bantuan Sara Hidup,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Pegawai KKM bersama polis akan membuat pemeriksaan untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP ditetapkan.

“Semalam polis melakukan 2,160 pemeriksaan dan jumlah kumulatif yang diambil tindakan kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah adalah seramai 51 individu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.