
“Adakah menteri baru akan membuat kenyataan untuk menafikan kenyataan menteri kewangan terdahulu?” kata Ahmad Maslan (BN-Pontian) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata, perkara itu akan dirujuk kepada laporan yang dibuat oleh agensi yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut.
Merujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Julai 2019 yang menyebut tiada wang GST dirompak, Shahar berkata, wang tersebut sebaliknya digunakan untuk perbelanjaan pembangunan negara.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga sedang menambah baik aliran tunai kutipan dan pembayaran balik GST.
Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lebih sedikit daripada GST, iaitu sebanyak RM27.56 bilion pada 2019 berbanding lebih RM40 bilion daripada GST.
Beliau menambah bahawa kerajaan tidak lagi memegang wang itu, sekali gus membolehkan syarikat mempunyai aliran tunai untuk menjalankan perniagaan.
Beliau memberi respons kepada Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) yang berkata, kekurangan wang tuntutan segera GST boleh menyebabkan masalah aliran tunai bagi syarikat ketika berdepan kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.
Tahun lepas, pengerusi PAC, Noraini Ahmad berkata, wang RM19.4 bilion yang disebut oleh Lim itu digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan kerajaan.
Beliau juga berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyalurkan wang yang dikumpulkan dari GST ke dalam akaun hasil disatukan.
Wang tersebut kemudiannya dipindahkan secara berperingkat ke dalam akaun bayaran balik GST disatukan seperti diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST.
Pada Ogos 2018 Lim berkata, kerajaan BN gagal membayar bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dari tarikh pelaksanaannya hingga 31 Mei 2018.
Katanya, hanya ada baki sebanyak RM1.49 bilion dalam dana pembayaran balik.