
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP hari ini meluluskan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakan Temco kerana mengambil kira 11 kes baru yang berpunca daripada kluster itu membabitkan 4 mukim.
Kawasan itu membabitkan radius 1km dari Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh (Mukim Hosba), Kampung Pida Satu di pekan Megat Dewa (Mukim Ah) dan Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjai) yang kesemua 3 mukim itu terletak di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu di pekan Padang Sanai (daerah Padang Terap).
“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai SOP sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama di sekitar,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, kerajaan Kedah mengarahkan 5 sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup mulai semalam hingga 29 Ogos ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu, manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.
Ismail berkata, petugas KKM akan menjalankan ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di 4 kawasan itu.
Katanya, semua masjid dan rumah ibadat di kawasan terbabit ditutup untuk aktiviti keagamaan, termasuk solat Jumaat.
“Jemaah dibenarkan 3 orang untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid.”
Aplikasi MySejahtera
Ismail berkata, kerajaan memutuskan semua premis wajib menggunakan aplikasi MySejahtera.
Katanya, Jabatan Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi itu secara wajib dalam masa terdekat.
“Pengecualian diberikan kepada premis di luar bandar yang tidak mempunyai liputan internet stabil.”