
Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan langkah itu “drastik”, dan tindakan terhadap Md Rayhan Kabir tidak wajar kerana imigresen belum menjelaskan kesalahannya.
LFL juga menuduh pihak berkuasa membalas dakwaan diskriminasi daripada Rayhan.
“Kami meneliti kenyataan dibuat Rayhan dalam dokumentari itu dan kami menegaskan dia tidak mengatakan apa-apa yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
LFL juga berkata Rayhan hanya menyuarakan kekecewaan dan keprihatinan terhadap tindakan keras terhadap pendatang.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata Rayhan, 25, yang dikehendaki pihak berkuasa sejak 7 Julai, ditahan dalam siasatan bawah Akta Imigresen.
Dua minggu lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador juga mengesahkan kepada FMT, imigresen membatalkan permit kerja Rayhan.
LFL berkata tindakan itu bercanggah dengan Seksyen 9(1)(c) Akta Imigresen, yang bermaksud alasan pengusirannya kerana tidak memiliki dokumen tidak berasas.
LFL juga mendesak pihak berkuasa menghentikan semua tindakan terhadap Rayhan.
“Penganiayaan Rayhan menghantar mesej kepada pendatang asing supaya tidak mendedahkan atau melaporkan sebarang salah laku pihak berkuasa, agar mereka tidak menerima nasib yang sama.”