Pemimpin DHPP seru ahli PAS elak guna perkataan singgung perasaan

Pemimpin DHPP seru ahli PAS elak guna perkataan singgung perasaan

Istilah seperti 'kafir' dan 'pendatang' beri kesan pada usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam, kata K Deepakaran.

Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71
Kepimpinan PAS di semua peringkat diseru berhati-hati menggunakan bahasa.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyeru ahli partinya mengelak menggunakan perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang bukan Islam, khususnya ‘kafir’ dan ‘pendatang’.

Ketua DHPP Selangor, K Deepakaran, dilapor berkata segelintir kecil ahli PAS menggunakan istilah sebegitu walaupun memberi kesan pada usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

“Bagaimana nak menyatukan rakyat khususnya bukan Islam sekiranya masih ada yang bersifat rasis,” katanya, kepada Malaysiakini, di tepian muktamar tahunan PAS di Alor Setar, Kedah.

Terdahulu, dalam ucapannya sempena muktamar, Deepakaran dilapor berkata kepimpinan parti di semua peringkat mesti berhati-hati menggunakan bahasa.

“Rakyat mahukan politik yang mendamaikan, bukan yang memecahkan,” katanya.

Beliau juga dilapor berkata DHPP wajar diberi peluang bertanding di kerusi yang berpotensi menang pada PRU akan datang, mengatakan kemenangan calon DHPP akan membuktikan PAS benar-benar serius mengangkat suara masyarakat bukan Islam.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilapor berkata DHPP mempunyai 10,000 ahli di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.