
Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama hari ini yang ditandatangani pemimpin 3 parti komponennya, iaitu Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) mengingatkan kerajaan PH terdahulu tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk memulangkan AS$1.75 bilion.
Ini kerana, katanya, jumlah keseluruhan yang dituntut kerajaan terdahulu ialah AS$7.5 bilion.
Mereka berkata, pemulangan wang itu ialah bukti wujud pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu.
“PH menegaskan semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah, termasuk individu yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebagai ‘Malaysian Official 1’ dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang sehingga kini belum ditahan.”
Semalam, Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion sebagai penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan 3 urus niaga bon yang disusun bank antarabangsa itu untuk 1MDB.
Secara keseluruhannya, lebih AS$4.5 bilion atau RM19 bilion dana 1MDB akan dikembalikan kepada Malaysia, ia termasuk wang yang sudah dipulangkan DoJ sebelum ini.
Penyelesaian terbaru itu ialah peningkatan ketara berbanding tawaran terdahulu sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat Goldman Sachs kepada Putrajaya pada 2019.
Kementerian Kewangan semalam berkata, kerajaan terus komited mendapatkan semula aset lain yang belum dikembalikan.