
Beliau berkata, dari satu segi kebenaran itu dapat membantu pengusaha hotel meningkatkan kadar penghunian susulan kekurangan kedatangan pelancong.
“Setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 masing-masing dan terdapat negeri yang mahu menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin bagi melestarikan operasinya berikutan pembukaan semula sektor pelancongan,” katanya.
Redzuan berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan serta Koperasi Negeri Perak hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan Melaka yang dilaporkan tidak membenarkan hotel dijadikan pusat kuarantin Covid-19 bagi mengelak sektor pelancongan, yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri itu, terjejas.
Mengulas lanjut, Redzuan berkata, mana-mana hotel perlu memohon kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri masing-masing jika ingin menawarkan perkhidmatan kuarantin kepada individu yang baru pulang dari luar negara.
Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus di Perak hari ini, iaitu yang ke-4 selepas Sabah, Kedah dan Kelantan, bertujuan menguar-uarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang akan dilaksanakan oleh Teraju, Yayasan Peneraju dan Sepadu bagi membantu golongan B40.