Ejen jualan langsung didenda RM50,000 jual gelang cegah Covid-19

Ejen jualan langsung didenda RM50,000 jual gelang cegah Covid-19

Jika gagal membayar denda itu dalam masa ditetapkan, wanita terbabit akan dituduh di mahkamah.

KPDNHEP mengesan promosi di Facebook berhubung gelang tangan berharga RM580 yang didakwa mampu mencegah Covid-19. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Seorang ejen jualan langsung dikompaun RM50,000 kerana mempromosikan gelang tangan di laman sosial yang didakwa mampu mencegah jangkitan Covid-19.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Iskandar Halim Sulaiman berkata pihaknya mengesan promosi di Facebook berhubung gelang tangan berharga RM580 yang didakwa mampu mencegah virus itu.

Bertindak atas aduan itu, katanya, sepasukan penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan menyoal siasat seorang wanita, iaitu ejen sebuah syarikat jualan langsung yang mempromosikan gelang tangan itu melalui laman Facebook miliknya.

“Tindakan wanita itu mempromosikan produk dengan memberi pernyataan mengelirukan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan seterusnya kompaun maksimum sebanyak RM50,000 diberikan kepada ejen jualan langsung berkenaan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika gagal membayar kompaun itu dalam masa ditetapkan, individu terbabit akan dituduh di mahkamah.

Katanya, penalti bagi kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 25 Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali ke-2 atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih 6 tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP serius dalam memastikan pengguna tidak terpedaya dengan promosi atau pernyataan mengelirukan mengenai kegunaan sesuatu produk.”

Selain itu, katanya, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.