Sabah lanjut permohonan geran pelancongan hingga hujung Ogos

Sabah lanjut permohonan geran pelancongan hingga hujung Ogos

Setiap pemohon boleh memohon geran tersebut sehingga jumlah maksimum RM20,000.

Kerajaan Sabah menggalakkan lebih banyak penggiat pelancongan, termasuk pengendali inap desa berdaftar dan hotel bajet, merebut peluang menaik taraf kemudahan mereka.
KOTA KINABALU:
Tarikh akhir untuk memohon geran pembangunan pelancongan kerajaan Negeri Sabah dilanjutkan sehingga akhir Ogos ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Christina Liew berkata, setiap pemohon boleh memohon geran itu sehingga jumlah maksimum RM20,000.

“Saya menggalakkan lebih banyak penggiat pelancongan, termasuk pengendali inap desa berdaftar dan hotel bajet, menampilkan diri mereka untuk merebut peluang menaik taraf kemudahan mereka,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Christina Liew

Liew yang juga merupakan timbalan ketua menteri berkata, dana itu adalah sebahagian daripada geran khas RM10 juta untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan (kemudahan inap desa dan produk pelancongan berdasarkan komuniti ) di bawah Pakej Bantuan Covid-19 Sabah fasa kedua (Sabah New Deal) seperti yang diumumkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Jun lepas.

Beliau berkata, hanya 100 permohonan diterima setakat hari ini.

Pengarah Taman-taman Sabah Dr Maklarin Lakim dalam kenyataan yang sama berkata, antara 22 Jun sehingga 19 Julai tahun ini, taman-taman Sabah menerima pelawat berjumlah 18,778 semasa tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Antara destinasi popular ialah Taman Kinabalu yang dilawati 8,565 orang, diikuti Taman Laut Tunku Abdul Rahman dengan 3,163 pelawat dan Taman Bukit Tawau, 2,243,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.