Pelitup muka wajib dipakai di tempat awam bermula 1 Ogos, kata Ismail Sabri

Pelitup muka wajib dipakai di tempat awam bermula 1 Ogos, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan itu juga terpakai ketika berada dalam pengangkutan awam.

Bermula 1 Ogos depan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di tempat awam bermula 1 Ogos depan.

Beliau juga berkata, pelitup muka wajib di pakai semasa menaiki pengangkutan awam.

“Pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak adalah diwajibkan,” katanya pada sidang medianya hari ini.

Ismail melahirkan kebimbangan susulan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dan kadar pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai yang semakin menurun, termasuk dalam pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan keretapi (KTM)

“Pengamalan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam oleh orang ramai juga tidak memuaskan.

“SOP di tempat awam yang bersesak, terutamanya yang tertutup juga didapati tidak diendahkan oleh segelinitir pihak,” katanya.

Ismail berkata, orang ramai dibolehkan mengunakan pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, keputusan itu mengambil kira penambahan kluster- baru Covid-19 yang dikenal pasti serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

SOP kedai makan

Dalam perkembangan lain, kerajaan juga berkata, penjarakan sosial perlu dipatuhi oleh pengusaha kedai makanan serta restoran walaupun kelonggaran tertentu diberikan mengikut saiz meja dan juga keluasan permis.

Namun begitu katanya, masih terdapat pengusaha yang tidak mengendahkan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan.

“Oleh sebab itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemilik ataupun pengusaha kedai makan dan restoran serta pengunjung yang gagal mematuhi peraturan dan SOP, sama ada dikenakan kompaun, tindakan mahkamah atau penutupan restoran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.