
Veteran industri, yang enggan dinamakan, berkata menurut undang-undang, Najib perlu membayar wang yang dituntut oleh LHDN terlebih dahulu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan RM1.69 bilion daripada wang yang Najib dakwa sudah dikembalikan 4 bulan selepas menerimanya pada 2013.
Beliau juga mengatakan RM632 juta lagi, daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi, merupakan sumbangan “yang tidak patut dikenakan cukai”.
“Najib sekarang perlu membuat rayuan kepada pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP), tribunal untuk mendengar dan menentukan rayuan dari pembayar cukai berdasarkan Akta Cukai Pendapatan,” kata pakar itu.
Menurutnya, PKCP biasanya terdiri dari panel 3 anggota yang mempunyai latar belakang perundangan serta arif tentang undang-undang cukai.
“Mereka akan menentukan fakta kes dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang.”
Pakar itu turut mengatakan isu utama yang perlu ditentukan tribunal dalam kes Najib adalah sama ada wang diterimanya merupakan sumbangan atau pendapatan.
“Najib perlu membuktikan wang itu adalah sumbangan, sementara LHDN perlu membuktikan ia adalah pendapatan.
“Kalau wang tersebut ialah pendapatan, apakah pula jenisnya? Dari pekerjaan, dividen, atau menang hadiah?”
Secara umum, pakar mengatakan, wang bukan berbentuk pendapatan seperti sumbangan tidak dikenakan cukai.
“Tidak kira sama ada sumbangan itu adalah sumbangan politik, peraturannya sama: sumbangan tidak dikenakan cukai.”
Tambah pakar itu, kuncinya adalah untuk Najib dan LHDN akan membuktikan pendirian mereka.
“Sesiapa yang kalah boleh dan akan membuat rayuan kes ke Mahkamah Tinggi.”
Menerusi catatan Facebook semalam, Najib mengisytiharkan: “Kebenaran akan dibuktikan akhirnya apabila kita menghadap panel rayuan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti.”