
Kempen terbaru Gucci Beauty tampil berbeza apabila memperkenalkan Ellie Goldstein, 18 sebagai model.
Pendekatan yang diambil oleh jenama fesyen itu benar-benar memberi impak kepada industri fesyen kerana ia mengubah stereotaip tentang erti sebenar kecantikan.
Biarpun menghidap penyakit Sindrom Down, namun wajah Ellie masih tetap kelihatan menawan memperagakan maskara yang diberi nama L’Obscur dari jenama mewah itu.
Gambar kempen yang dibintangi Ellie itu menjadi gambar yang paling banyak menerima tanda suka di akaun Instagram rasmi Gucci yang kini sudah meraih lebih dari 800,000 tanda suka.
Kempen terbaru ini inisiatif Gucci Beauty bersama dengan Photo Vogue Festival di mana kempen ini dimuatkan di dalam majalah Vogue Italia.
Selain Ellie, jurugambar untuk kempen berkenaan iaitu David PD Hyde turut dipilih melalui penyertaan di Instagram.
Ellie menerusi temubualnya bersama majalah Vogue British berkata, dia sangat gembira dan berbangga apabila dipilih menjadi model untuk kempen terbaru Gucci Beauty itu.
“Apabila saya melihat gambar ini, saya rasa sangat gembira dengan diri sendiri. Saya terharu dengan komen-komen di media sosial dari seluruh dunia.

“Saya sangat menyukai kempen ini. Terima kasih untuk pengalaman yang luar biasa ketika hari penggambaran,” tulis Ellie di ruangan komen akaun Instagram rasmi Gucci Beauty.
Sementara itu, pengarah kreatif Gucci Beauty, Alessandro Michele berkata, dia mencipta maskara terbaru ini untuk mereka yang sentiasa menjadi diri sendiri dan mengeskpresikan kebebasan melalui solekan.
“Kami namakan maskara terbaru ini sebagai L’Obscur kerana perkataan ini mengimbangi dua unsur iaitu pesona dan misteri,” jelasnya.
Bercerita mengenai pemilihan Ellie sebagai wajah terbaru kempen itu, dia dipilih menerusi satu penyertaan terbuka di Instagram menerusi kerjasama Gucci Beauty dan majalah Vogue Italia yang dimulakan sejak November 2019.
Menyingkap mengenai kerjaya Ellie sebagai model profesional, dia mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak berumur 15 tahun dan bernaung di bawah agensi model, Zebedee Management.
Zebedee Management adalah sebuah agensi pengurusan model di London yang mewakili model-model yang ‘istimewa’ atau kelainan upaya.
“Perwakilan adalah sangat penting bagi saya. Biar dunia lihat bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi model termasuklah mereka yang kurang upaya.”
“Apabila orang sedar bahawa saya sebenarnya boleh bercakap dan mempunyai karektor yang hebat, mereka mula melayan saya secara berbeza dan tersenyum. Dunia perlu lebih positif dan memberi lebih banyak peluang,” ujar Ellie.
Kejayaan Ellie menjadi model untuk jenama sebesar Gucci ini memberikan harapan buat jutaan individu di luar sana terutamanya insan yang senasib dengan Ellie untuk berjaya meskipun OKU.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]