LHDN dibenar tuntut tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada Najib tanpa perbicaraan penuh

LHDN dibenar tuntut tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada Najib tanpa perbicaraan penuh

Hakim berkata, di bawah Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tiada kuasa melayan sebarang rayuan daripada individu, yang mahu mempertikaikan penilaian pegawai cukai pendapatan terhadap mereka.

LHDN memfailkan saman terhadap Najib Razak pada 25 Jun 2019 bagi menuntut cukai pendapatan RM1.69 bilion yang dihutangnya bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memohon penghakiman terus untuk mendapatkan kembali tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Hakim Ahmad Bache berkata, di bawah Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tiada kuasa melayan sebarang rayuan daripada individu, yang mahu mempertikaikan penilaian pegawai cukai pendapatan terhadap mereka.

“Selepas LHDN menyerahkan notis penilaian kepada defendan (Najib), mahkamah tiada kuasa untuk melayan rayuan mengenai jumlah yang kerajaan mahu dapatkan kembali atas alasan ia keterlaluan atau dinilai secara salah.

“Beliau mempertahankan jumlah yang diterimanya ialah dalam bentuk sumbangan dan sumbangan itu tidak boleh dikenakan cukai di bawah undang-undang.

“Bagaimanapun, fakta ini perlu didengar Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan. Mahkamah bukan tempat sesuai menentukannya,” katanya sambil menambah Najib turut memfailkan rayuan terhadap notis penilaian LHDN kepada tribunal itu.

Penghakiman terus ialah prosiding di mana mahkamah menentukan sesuatu kes, melalui penghujahan bertulis, tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

LHDN memfailkan saman terhadap Najib tahun lalu untuk menuntut tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion.

Mengenai hujah Najib yang Seksyen 106 bercanggah Perkara 13 dan 121 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak harta benda serta kuasa kehakiman, Ahmad berkata, hujah itu ialah salah tanggapan.

“Mahkamah Persekutuan sebelum ini sudah menolak tindakan mencabar Perlembagaan berhubung pengembalian cukai.

“Mahkamah memutuskan tiada arbitrari dalam melaksanakan cukai pendapatan bagi tujuan meningkatkan pendapatan negara.”

Hakim turut bersetuju Seksyen 106(3) tidak merampas kuasa kehakiman dan ia hanya satu kaedah pengembalian (cukai).

“Hak pembayar cukai dilindungi bawah Seksyen 99 Akta Cukai Pendapatan oleh rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

“Jika beliau tidak puas hati dengan keputusan pesuruhjaya, mereka masih boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.”

Mahkamah turut mengarahkan Najib membayar kos RM15,000.

Najib diwakili Muhammad Farhan Shafee, manakala LHDN diwakili Timbalan Peguam Cara Hasilnya, Abu Tariq Jamaluddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.