‘Kebenaran akan dibuktikan’, Najib ulas mahkamah benarkan permohonan LHDN

‘Kebenaran akan dibuktikan’, Najib ulas mahkamah benarkan permohonan LHDN

Bekas perdana menteri berkata mahkamah tiada kiasa untuk pertikaikan tuntutan LHDN tetapi 'kebenaran akan dibuktikan' apabila perkara itu dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Najib Razak.
PETALING JAYA:
Najib Razak mengisytiharkan “kebenaran akan dibuktikan akhirnya” dalam isu tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, yang membenarkan permohonan LHDN yang memohon penghakiman terus untuk mendapatkan wang daripadanya selaras undang-undang kerana mahkamah “tiada kuasa untuk pertikaikan, ubah atau hentikan tuntutan LHDN” tanpa mengira jika cukai itu patut.

Bekas perdana menteri itu kini perlu merayu kesnya kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

“Sebenarnya, saya bukan diarahkan hakim untuk membayar cukai tetapi hakim memberi penghakiman terus kepada LHDN untuk teruskan tuntutan mereka terhadap saya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut undang-undang cukai, LHDN diberi kuasa mengenakan sebarang cukai tambahan dan penalti ke atas mana-mana orang dan mahkamah tiada kuasa untuk pertikaikan tuntutan itu.

“Ini bermaksud, jika LHDN tuntut cukai RM3.76 trilion pun, mahkamah perlu arahkan defendan bayar RM3.76 trilion.

“Bayar dulu. Lepas bayar, baru boleh membuat rayuan di panel rayuan LHDN untuk mendapat kembali bayaran yang tak patut.”

Sebab itu, katanya, kerajaan lepas boleh mengenakan tuntutan dan penalti sebanyak RM1.69 bilion bagi RM2.6 bilion yang diterimanya walaupun wang tersebut sudah dikembalikan selepas 4 bulan.

Manakala RM632 juta lagi, daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi, merupakan sumbangan “yang tidak patut dikenakan cukai”.

Tetapi Najib mendakwa undang-undang cukai sudah disalahgunakan.

“Kebenaran akan dibuktikan akhirnya apabila kita menghadap panel rayuan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.