
Pembinaan kuil Sri Maha Mariamman bermula pada Februari di atas sebidang tanah persendirian berkeluasan 0.4 hektar, berhampiran Bandar Seri Astana Fasa E.
PBT menyatakan pembinaan dilakukan tanpa kebenaran dan notis diberikan kepada pemilik tanah pada 15 Jun.
Bagaimanapun, penyokong kuil mendakwa PBT enggan pertimbangkan rayuan jawatankuasa rumah ibadat berkenaan.
Ketua jawatankuasa kuil Ratnam Kuppu berkata, tapak itu diberikan kepada jawatankuasa berkenaan selepas tapak kuil asal berusia 100 tahun di Ladang Pinang Tunggal (dulunya ladang Bawali) dibeli pemaju.
Katanya, tapak itu diberikan selepas penghakiman persetujuan Mahkamah Tinggi pada Januari, kira-kira 10 tahun selepas pemaju menawarkan tapak lain, tetapi dibantah penduduk sekitar.
“Kami tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa, jadi kami minta kepada pemaju untuk tapak lain. Selepas 10 tahun, kami diberikan tanah ini, berhampiran tapak sebelumnya yang ditawarkan kepada kami pada 2010,” katanya kepada FMT.
“Kini, ketika kuil baru hampir siap, kami diberi notis perobohan. Kami diberitahu oleh majlis perbandaran yang 52 orang mengemukakan petisyen bantahan terhadap kuil yang sedang dibina.
“Adakah kami perlu tunggu 10 tahun lagi untuk sebidang tanah baru?”
Katanya, penganut terus beribadat di kuil lama sehingga kuil baru siap dibina kerana ia satu-satunya kuil di daerah itu.
Ratnam berkata, jawatankuasa kuil menyerahkan kepada pemaju untuk mendapatkan kelulusan daripada PBT kerana tanah itu masih milik pemaju. Katanya, hanya pemilik tanah yang boleh memohon kebenaran daripada majlis perbandaran.
Notis daripada majlis perbandaran yang diserahkan kepada peguam jawatankuasa kuil menyatakan PBT itu tidak terikat dengan perintah mahkamah tetapi bawah bidang kuasanya untuk menguatkuasakan undang-undang bangunan.
Dikatakan, jawatankuasa kuil tidak memohon kebenaran merancang sebelum pembinaan kuil.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan Hayati Othman hanya akan memberi komen selepas mendapat maklumat lanjut daripada majlis perbandaran.