
“Beliau bukan seorang individu tepi jalan, beliau bekas perdana menteri. Kalau bukan bekas perdana menteri, kita tidak ada masalah, sebab itu saya berhak sebut nama orang terlibat,” katanya ketika membahaskan ucapan Agong di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) membangkitkan Peraturan Mesyuarat yang menyatakan ahli Parlimen tidak patut menyebut nama individu secara spesifik dengan niat mengkritik individu terbabit.
Mahathir berkata, beliau kecewa PPBM yang ditubuhkan khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat pimpinan Najib, percaya DAP boleh menghancurkan orang Melayu.
“Ini adalah isu yang dicipta Najib untuk menjatuhkan kerajaan PH supaya Najib dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mengambil alih.
“Kita semua tahu di waktu Najib menjadi perdana menteri, Abdul Gani Patail dibuang dan diganti dengan peguam negara yang kemudian mendakwa Najib tidak bersalah dalam kes 1MDB.
“Tentulah menjadi harapan Najib apabila ia berada dalam kerajaan, peguam negara baru akan dakwa tidak ada kes terhadap dirinya.
“Maka dengan hasrat untuk kembali berada dengan kerajaan, Najib mendakwa DAP akan hancurkan orang Melayu jika berada dalam kerajaan. Dakwaan ini tidak berasas, ia hanya bertujuan menakutkan orang Melayu supaya menolak kerajaan PH.”
Bekas pengerusi PPBM itu berkata, DAP sebenarnya tidak mampu menghancurkan orang Melayu dan Muhyiddin tahu mengenainya ketika menjadi menteri dalam negeri.
“Menteri dalam negeri tahu dan sedar, dengan hanya membatalkan pendaftaran DAP, akan lumpuh dan hilanglah DAP. Yang terdedah kepada kehancuran ialah DAP.
“Ini juga yang kita lakukan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga ia hentikan percubaan untuk rampas kuasa kerajaan Malaysia. DAP bukan pun sekuat PKM, tidak mungkin DAP berjaya, di mana PKM dengan gerakan bersenjatanya gagal.
“Tetapi, pembohongan ini berjaya mempengaruhi presiden dan beberapa pemimpin PPBM membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Dengan ini saya pun terkeluar daripada menjadi perdana menteri kerajaan PH. Peletakan jawatan oleh saya tidak dapat dielak.”