Pelancong kesihatan dari negara zon hijau dibenar ke Malaysia, kata menteri

Pelancong kesihatan dari negara zon hijau dibenar ke Malaysia, kata menteri

Negara zon hijau ialah negara mencatatkan kes Covid-19 tidak banyak, iaitu Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.

Pelancong kesihatan dari negara zon hijau perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan mereka akan terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sejurus tiba di lapangan terbang.
PETALING JAYA:
Kerajaan membenarkan pelancong kesihatan dari negara zon hijau datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, rakyat dari negara dengan kes Covid-19 tidak banyak itu – Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand – dibenarkan memasuki Malaysia menggunakan pesawat komersial bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perbincangan bersama Kementerian Luar dan negara terbabit mengenai kebenaran pergerakan rentas sempadan negara masing-masing.

“Mereka yang terlibat perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di lapangan terbang, mereka akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, belum ada keputusan untuk hanya membenarkan pelajar bakal menduduki peperiksaan bersekolah, susulan kebimbangan ibu bapa berhubung peningkatan kes Covid-19.

Setakat ini, katanya, pelajar dibenarkan ke sekolah berdasarkan keputusan kerajaan sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya percaya bukan saja sekolah, tetapi di mana-mana, jika kes meningkat, kita akan ambil keputusan selepas itu.”

Tiada PKPD di pusat jagaan warga emas

Ismail berkata, tiada arahan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor, susulan kewujudan kluster baru Covid-19 di pusat berkenaan.

Beliau berkata, pusat jagaan itu kini ditutup dan pelawat serta badan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan masuk.

“Kita hanya ‘lockdown’ tempat (pusat) tersebut dan seperti biasa prosedur diikuti saringan ‘swab test’ bagi semua yang tinggal di dalam pusat jagaan, termasuk pekerja yang keluar masuk.”

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan kluster baru di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster itu merupakan satu kematian Covid-19 yang dilaporkan kelmarin, selepas ujian saringan Covid-19 mendapati ia positif.

Katanya, sehingga 12 tengah hari semalam, 14 daripada 39 orang yang disaring didapati positif Covid-19, 18 negatif dan 7 masih menunggu keputusan.

Seramai 13 daripada 14 kes positif itu ialah warganegara, manakala seorang lagi warga Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.