
Pengarah Kampus Kesihatan USM Prof Dr Ahmad Sukari Halim berkata, ia dibangunkan melalui kaedah jalinan kepakaran 2 institusi terbabit untuk manfaat bersama.
“SIPC USM-KPJ menyediakan ruang bagi penyaluran maklumat tepat, sahih dan pantas, khususnya menerusi artikel, infografik, video, poster dan sebagainya yang berkaitan dengan situasi semasa pandemik Covid-19.
“Kandungan yang dimuat naik disasarkan menjadi rujukan alternatif mengenai Covid-19 kepada pengamal perubatan, institusi dan orang awam,” katanya pada majlis pelancaran laman sesawang itu dan pusat sumber informasi risiko dan media Covid-19 di Kubang Kerian, semalam.
Beliau yang juga pengarah Hospital USM berkata, bagi memastikan maklumat disalurkan tepat dan mencapai sasaran, semua artikel yang ditulis akan dinilai oleh sekurang-kurangnya 2 pakar sebelum ia diterbitkan.
“Penubuhan SIPC ini menunjukkan adannya jaringan kerjasama kukuh antara pihak swasta dan institusi pendidikan tinggi di negara ini.
‘Kerjasama sebegini boleh dikembangkan dengan lebih produktif dalam bidang lain, contohnya yang melibatkan penyelidikan bersama.
“SIPC juga akan digunakan sebagai wadah bagi pensyarah USM menyalurkan ilmu kepakaran masing-masing dalam bentuk penulisan, seterusnya menggalakkan penerbitan demi meningkatkan prestasi universiti,” katanya.
Katanya, USM mengalu-alukan perkongsian artikel berkaitan Covid-1,9 sama ada dalam kategori umum atau perubatan untuk dimuat naik dan dikongsi dalam laman sesawang itu.
Sementara itu, pengarah perubatan Hospital KPJ Perdana Dr Mohamad Hamzah berkata, SIPC USM-KPJ dibangunkan berikutan kurangnya maklumat dan kecelaruan maklum balas bagi membantu barisan hadapan menangani Covud-19.
“Maklumat yang samar membawa kesulitan kepada seorang doktor, apatah lagi pentadbir hospital tanpa latar belakang perubatan untuk membuat dasar dan menyalurkan arahan tepat berhubung Covid-19.
“Bayangkan kalau semua hospital bertindak berbeza mengikut maklumat samar ini. Jika maklumat tidak tepat, hal ini boleh menyebabkan pembaziran aset yang terhad atau membawa risiko tinggi kepada barisan hadapan yang berdepan pesakit Covid-19,” katanya.