
Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nageeb Abdul Wahab berkata, sektor itu berdepan kekurangan kira-kira 36,000 pekerja sebelum Covid-19 melanda yang mempengaruhi pengeluaran kira-kira 10%.
Walaupun sektor itu berjaya mengekalkan tenaga kerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata lebih ramai pekerja boleh meninggalkan sektor itu pasca PKP.
“Tidak ada yang akan mengisi tenaga kerja di sektor ini. Saya amat bimbang dengan keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.
“Kami sudah menyampaikannya kepada kementerian (perusahaan perladangan dan komoditi). Semoga menteri mengambil kira masalah ini,” katanya pada persidangan maya Invest Malaysia 2020 anjuran Bursa Malaysia hari ini.
Nageeb berkata, hasil minyak sawit juga tidak berkembang, disebabkan kekurangan pekerja selain faktor cuaca tidak menentu dan kualiti tanah.
Beliau berkata, fokus tidak seharusnya untuk mengembangkan sebaliknya menghasilkan lebih banyak tanaman di kawasan tanah sama kerana kos tinggi dan isu alam sekitar.
Ia sekali lagi berkait dengan buruh asing kerana 84% tenaga kerja perladangan terdiri daripada warga asing.
“Selama ini, industri ini dapat bertahan kerana kita tahu adanya tenaga kerja. Jika penduduk tempatan tidak mahu (bekerja), tidak mengapa, kita ada pekerja asing. Kita terlalu bergantung (pada pekerja asing),” katanya.
Beliau menyarankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dilibatkan untuk membantu industri ke arah automasi khususnya penuaian buah kelapa sawit.
Katanya, ia amat penting untuk meningkatkan kecekapan dan hasil yang akan membolehkan Malaysia mengekalkan daya saing.
Nageeb turut meminta Putrajaya mengkaji struktur cukai bagi industri itu, mengatakan ia ketinggalan dan mempunyai kekurangan kerana mereka yang mengalami kerugian masih perlu membayarnya.
Katanya, sektor perladangan membayar cukai paling tinggi kepada Putrajaya, termasuk korporat, durian runtuh, cukai pintu dan lain-lain levi, yang memberi kesan pada keuntungan industri.
Mengatakan industri itu mempunyai sekitar 1 juta pekebun kecil yang sumber pendapatan mereka adalah dalam industri itu, beliau berkata isu masalah yang besar boleh timbul sekiranya perkara ini tidak ditangani.