
Panel 3 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed berkata, sabitan ke atas N Kumaresan, yang diputuskan oleh mahkamah perbicaraan dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan, adalah dikekalkan.
Azahar, yang bersidang bersama-sama Abdul Rahman Sebli dan Zaleha Yusof berkata, pengakuan Kumaresan kepada isterinya dan bukti yang dikemukakan adalah cukup untuk membuktikan beliau bersalah atas perbuatan itu.
Beliau berkata, niat membunuh A Sivasanggari, 22, jelas berdasarkan bukti ahli patologi kerana tulang hyoid di leher mangsa patah.
Kumaresan, 31, melakukan kesalahan itu di One Hotel antara pukul 9 malam pada 9 Jun 2014 dan 10 pagi keesokan harinya.
Timbalan pendakwa raya Hanim Mohd Rashid berkata, Kumaresan dan mangsa mempunyai hubungan, namun motif pembunuhan tidak jelas.
Kumaresan dan Sivasanggari, seorang juruwang di sebuah pusat hiburan, masuk ke hotel, dan Kumaresan keluar pada hari berikutnya sebelum menuju ke Teluk Intan.
Beliau kemudian menelefon isterinya untuk mengakui perbuatan jenayah itu dan cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpai.
Isterinya memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi pendakwaan.
Mahkamah Tinggi mendapati Kumaresan bersalah melakukan pembunuhan pada 2018, dengan Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan itu tahun lepas.
Kumaresan, yang diwakili oleh T Vijandran, masih boleh terlepas daripada hukuman gantung sampai mati jika beliau mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor kerana jenayah tersebut dilakukan di negeri itu.