

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, kawasan berisiko tinggi itu termasuk pasar awam, klinik dan hospital, sekolah, pengangkutan awam, ruang awam dan kawasan tertutup dengan orang ramai untuk jangka panjang.
“Tindakan sedemikian bukan baru dan diwajibkan di kira-kira 75 negara di seluruh dunia dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19, dengan rakyat boleh didenda jika tidak memakai topeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yii yang disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac lalu dan sembuh lebih seminggu kemudian berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pernah memaklumkan kira-kira 70% pesakit di Malaysia tidak bergejala.
Oleh itu, katanya, pemakaian topeng adalah perlu untuk mencegah penularan Covid-19 daripada individu sebelum atau bergejala yang tidak tahu mereka ialah pembawa virus berkenaan.
“Walaupun isu ‘pemakaian topeng sejagat’ masih hangat dibincangkan, terdapat ahli politik dan pakar perubatan terkenal yang menyokong keperluan memakai topeng,” katanya yang menamakan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, George Fu Gao, bekas pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), Scott Gottlieb dan Caitlin Rivers daripada Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins.
Yii turut memetik kajian terbaru universiti di Eropah yang menekankan kepentingan “pemakaian topeng sejagat”, termasuk ia akan membantu mengurangkan penularan Covid-19 berbanding pelaksanaan sekatan pergerakan ketat.
Katanya, kerajaan perlu mengurangkan harga siling topeng supaya ia lebih mampu dibeli semua lapisan rakyat dan memberi insentif kepada pengeluar topeng tempatan bagi memastikan pengeluaran besar-besaran.
“Kerajaan perlu menyediakan topeng, khasnya di sekolah untuk memberi perlindungan tambahan kepada generasi muda, guru dan kakitangan di sekolah.
“Kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memakai topeng perlu dipromosikan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk NGO dan masyarakat awam supaya rakyat lebih memahaminya.”