KPKT: Terserah kepada keluarga Adib untuk saman polis

KPKT: Terserah kepada keluarga Adib untuk saman polis

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Ismail Abd Muttalib berkata, keluarga Adib berhak mendapat keadilan atas kematian anggota bomba itu.

Mohd Kassim Abdul Hamid, menziarahi kubur anaknya Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Alor Star. Mahkamah Koroner memutuskan Adib maut akibat perbuatan jenayah oleh 2 atau lebih individu tidak dikenali. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kepada keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim untuk mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Timbalan menterinya, Ismail Abd Muttalib berkata, keluarga Adib berhak mendapat keadilan atas kematiannya.

“Keluarga Adib tidak berjumpa dengan saya, cuma dia (keluarga) dan rakyat inginkan keadilan bagi Adib. Kita tidak tahu sebab kematian, sebab itu kita perlukan keadilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan keluarga Adib akan mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba berumur 24 tahun itu pada 17 Disember 2018 setelah parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih 2 atau 3 individu tidak diketahui.

Ditanya sama ada KPKT menyokong tindakan keluarga Adib itu, Ismail berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada undang-undang.

Menyentuh mengenai cadangan KPKT untuk meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian.

Tanpa mengulas hasil perbincangan itu, Ismail berkata, kenaikan elaun tersebut adalah wajar kerana anggota bomba terbabit menjalankan kerja kira-kira 8 jam sehari dengan elaun RM6 sejam berbanding pasukan lain seperti Sukarelawan Simpanan Polis dan Anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang mendapat RM8.

“Kita bukan nak mendesak kerajaan, kita tahu kerajaan perlukan kewangan, tetapi atas tanggungjawab kita sebagai kementerian, maka kita wajar membela pasukan bomba bantuan ini,” katanya.

Bulan lepas, Ismail berkata, KPKT akan membawa cadangan meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.