MoF: Pengunjung UTC dijangka terus meningkat dalam tempoh PKPP

MoF: Pengunjung UTC dijangka terus meningkat dalam tempoh PKPP

Pada Jun, UTC seluruh negara menerima 469,441 pengunjung apabila ia mula beroperasi secara penuh selaras langkah pembukaan semula ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan lawatan rasmi dan tinjauan mesra di UTC Sentul, Kuala Lumpur hari ini. (Gambar MoF)
KUALA LUMPUR:
Pengunjung ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) semakin bertambah dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan dijangka terus meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Pada Jun, UTC seluruh negara menerima 469,441 pengunjung apabila ia mula beroperasi secara penuh selaras langkah pembukaan semula ekonomi oleh kerajaan.

“Apabila kerajaan memulakan usaha membuka semula ekonomi secara beransur-ansur pada 4 Mei lalu, hanya 31,239 orang awam mengunjungi UTC dalam bulan Mei,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Antara bulan Januari dan Februari 2020, purata kunjungan rakyat ke UTC adalah sebanyak 1.2 juta sebulan dan jumlah pengunjung turun mendadak semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac dan April.

Tengku Zafrul (kiri) beramah mesra dengan peniaga di UTC Sentul. (Gambar MoF)

Kenyataan itu menyebut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan lawatan rasmi dan tinjauan mesra di UTC Sentul di sin,i hari ini.

Beliau meluangkan masa meninjau pejabat agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Klinik Pergigian UTC selain beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.

Kementerian itu berkata, waktu operasi UTC yang dilanjutkan sejak 1 Julai lepas memudahkan serta memberi keselesaan kepada rakyat untuk berurusan dengan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan di luar waktu pejabat dan pada hujung minggu.

“Ini sejajar dengan teras ke-3 dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), iaitu merangsang ekonomi melalui pelanjutan waktu perkhidmatan dalam norma baru,” menurut kenyataan itu.

Selain itu katanya, masyarakat kembali yakin dan selesa untuk keluar, termasuk untuk melakukan urusan berkaitan agensi kerajaan seperti di Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara berikutan prosedur operasi standard (SOP) pusat perniagaan serta kawalan kendiri yang diwajibkan kerajaan.

Terdapat 22 UTC di seluruh negara selepas cawangan pertama ditubuhkan di Melaka pada 2012 dengan jumlah pengunjung kira-kira 14 juta dalam tahun 2019, yang menyaksikan peningkatan berbanding 6.4 juta pada 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.