
Katanya, beliau menerima banyak jemputan daripada NGO yang mahu mengadakan dialog bagi membincangkan isu berkaitan golongan itu.
“Saya juga akan lakukan lawatan ke program yang dikolaborasi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan NGO untuk bersama-sama berdialog dengan rakan sahabat transgender,” katanya kepada pemberita selepas program Musaadah Covid-19 di Kampung Sena Rendang di sini, hari ini.
Sebanyak 200 penerima daripada golongan B40 menerima bantuan barangan keperluan bernilai RM20,000 pada program itu.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata JAWI tidak pernah menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap golongan transgender seperti didakwa Suruhanjaya Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Bagaimanapun menurutnya, golongan tersebut perlu mematuhi batasan dalam masyarakat, keluarga dan kejiranan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan majmuk.
“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah kita (penguat kuasa) bukan bersifat semua orang kita nak tangkap …itu bukan kerja kita.
“Kita akan adakan dialog perbincangan untuk kita sama-sama mencari titik persamaan dan kebenaran,” katanya.
Zulkifli berkata, undang-undang negara sedia ada cukup bagi menangani isu LGBT.