Kadar huni hotel 70% hanya di lokasi menarik, Nancy jelas kekeliruan

Kadar huni hotel 70% hanya di lokasi menarik, Nancy jelas kekeliruan

Menteri pelancongan berkata, timbul salah faham berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat kerana kadar penghunian sehingga 70% hanya bagi hotel di lokasi menarik dekat pantai, seperti Pulau Perhentian dan Langkawi.

Nancy Shukri berkata, purata kadar penghunian hotel di seluruh negara antara 21% hingga 30%.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri hari ini menjelaskan kekeliruan berhubung kadar penghunian hotel yang menjadi pertikaian di Dewan Rakyat minggu ini.

Katanya, terdapat hotel di lokasi menarik berhampiran pantai, seperti di Pulau Perhentian dan Langkawi, mencapai kadar penghunian sehingga 70%.

“Beberapa minggu lepas, terutamanya hotel berhampiran pantai, yang mempunyai daya tarikan sendiri, kalau kita pergi hujung minggu, sudah mencapai tahap 70%,” katanya dalam lawatan kerja di sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Nancy tidak menafikan laporan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berhubung kadar penghunian secara purata di seluruh negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sekadar 21%.

Nancy Shukri

“Purata seluruh negara antara 21% hingga 30%. Ada yang salah faham di Dewan Rakyat, 70% hingga 100% itu adalah hotel-hotel yang mempunyai daya tarikan sendiri. Boleh pergi tengok.”

Rabu lalu, Nancy dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat berkata: “Kita juga nampak beberapa minggu lalu bagaimana kita lakukan pemulihan ini. Nampaknya hotel yang beroperasi begitu banyak sekali kadar penghunian ada 75%, ada 100%. Itu kita dapat maklum balas Persatuan Hotel Malaysia dan pihak lain bekerjasama dengan kita.”

Bagaimanapun, timbul pertikaian antara Nancy dan bekas timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang bertegas statistik disebut Nancy itu salah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng turut menafikan kenyataan Nancy di Dewan Rakyat, dengan berkata kadar penghunian dipetik menteri itu hanya melibatkan hotel di beberapa destinasi pelancongan.

Yap dilaporkan berkata, kadar penghunian ketika ini secara purata ialah 21%, berdasarkan data dikumpulkan MAH.

Nancy berkata, beliau secara peribadi berharap trend pelancongan dan kadar penghunian semakin bertambah, sekaligus memberi manfaat dan membantu industri pelancongan tempatan.

“Biarlah aura positif ini sentiasa ada dalam kalangan masyarakat kita. Ia supaya kita dapat membantu tingkatkan ekonomi mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.