14 ditahan polis ingkar PKP

14 ditahan polis ingkar PKP

Daripada jumlah itu, 3 direman dan 11 dikompaun.

Polis turut menahan 9 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dan memeriksa 43,033 kenderaan menerusi 67 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.
PETALING JAYA:
Empat belas individu ditahan semalam kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-123 sejak dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, 3 daripadanya direman, manakala 11 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan melanggar SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, task force operasi pematuhan menjalankan 62,386 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,808 pasukan pematuhan melibatkan 12,885 anggota membuat pemantauan di 3,804 pasar raya, 5,374 restoran, 1,298 penjaja, 1,254 kilang, 3,693 bank dan 881 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau 1,117 terminal pengangkutan darat, 223 terminal pengangkutan air serta 141 terminal pengangkutan udara.”

Katanya, polis turut menahan 9 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi 67 sekatan jalan raya di seluruh negara, dengan memeriksa 43,033 kenderaan dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan sempadan, terutamanya di lorong tikus.”

Katanya, 96 rakyat Malaysia yang pulang dari India pagi tadi akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) di Nilai, Negeri Sembilan.

“Daripada jumlah itu, 62 merupakan jemaah tabligh dan 34 lagi rakyat Malaysia yang pulang menaiki pesawat sama.

“Pusat pemantauan ini akan diselia petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga dikawal polis. Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi Akept.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.