
Presiden Mohamed Arshad Raji berkata, tingkah laku mereka memalukan rakyat kerana gagal mencerminkan sikap selaku ahli Parlimen yang baik dan berintelektual.
“Tingkah laku kasar mereka di Parlimen menunjukkan yang mereka tidak memiliki sifat seorang ahli Parlimen, mereka tidak layak dipanggil Yang Berhormat dan dihormati,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengkritik serangan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, sebagai contoh tidak baik kepada generasi muda.
Katanya, ahli Parlimen perlu belajar daripada rakan mereka di Singapura bagaimana berkelakuan sopan, sambil menambah mereka yang tidak boleh berkelakuan sopan perlu berundur dan berhenti membazirkan dana awam.
“Sudah tiba masa bagi pengundi, terutama yang mengundi kali pertama, mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan setiap calon supaya menyingkirkan calon yang tidak diingini daripada terpilih menjadi ahli Parlimen.
“Rakyat layak diwakili ahli Parlimen yang progresif, intelektual, dihormati dan berbudi bahasa. Bukannya orang yang menimbulkan kekecohan seperti ketika sidang Parlimen 13 Julai, ” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, ahli Parlimen bertikam lidah mengenai pelantikan Azhar Harun sebagai speaker yang baru berikutan penyingkiran Ariff Yusof.
Ucapan Azhar sering diganggu jeritan “boo” daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan, mendorong beliau mengusir ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Persidangan bertambah panas dengan komen Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim ketika Kasthuri Patto daripada DAP berucap berkata “gelap, tak nampak” dan “pakailah bedak”.
Azeez meminta maaf keesokannya selepas diarah speaker.