Penjara 20 tahun, denda RM150,000 ke atas pemandu mabuk memadai, kata KPN

Penjara 20 tahun, denda RM150,000 ke atas pemandu mabuk memadai, kata KPN

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dilaporkan berkata, kerajaan mengusulkan pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis pernah mencadangkan agar hukuman penjara mandatori dikenakan ke atas pemandu mabuk bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan kelompok itu di negara ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk adalah memadai.

Beliau berkata, pihaknya pernah mencadangkan agar hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

“Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh syarikat Bata Primavera Sdn Bhd, di Bukit Aman di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sebagai berkata, kerajaan akan mengusulkan agar pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata, pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.