India: Kes Covid-19 kini lebih 1 juta, 25,000 maut

India: Kes Covid-19 kini lebih 1 juta, 25,000 maut

Virus tersebut meragut 687 lagi nyawa di India, sementara 34,956 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Minggu lalu, kerajaan Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, memutuskan untuk mengenakan sekatan pergerakan hujung minggu, bermula Jumaat malam hingga Isnin pagi. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Jumlah kes Covid-19 di India melepasi sejuta pada Jumaat, manakala angka korban melebihi 25,000 orang, lapor agensi berita Xinhua memetik data Kementerian Kesihatan Persekutuan.

Kementerian berkenaan berkata, virus itu meragut 687 lagi nyawa dan 34,956 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah pesakit yang meninggal dunia mencecah 25,602 orang dan jumlah kes jangkitan sebanyak 1,003,832.

Ia lonjakan tertinggi jumlah kes baru untuk tempoh sehari setakat ini.

Menurut pegawai kementerian, sehingga kini 635,757 pesakit discaj dan jumlah kes aktif sebanyak 342,473.

Negara ini sudah memasuki fasa “Unlock 2.0”, namun sekatan sepenuhnya masih dikenakan di zon pembendungan. Penerbangan antarabangsa komersial keluar dan masuk, di India masih ditangguhkan sehingga 31 Julai.

Minggu lalu, kerajaan Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk, memutuskan untuk mengenakan sekatan pergerakan hujung minggu, bermula Jumaat malam hingga Isnin pagi.

Negara jiran Bihar, yang juga padat dengan penduduk, mengenakan sekatan pergerakan dari 16 hingga 31 Julai.

Memandangkan peningkatan jumlah kes baru setiap hari, beberapa negeri lain menimbangkan untuk menguatkuasakan semula sekatan pergerakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.