
Ketika ditanya bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh (PH-Segambut) berhubung tindakan tuan rumah tempatan mengusir pelarian selepas operasi imigresen ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sama ada kementerian itu sudah menemui UNHCR, Rina berkata, beberapa kementerian sedang meneliti isu pelarian.
“Ini akan dilihat dari semasa ke semasa dan yang pentingnya kanak-kanak ini juga di bawah Akta Kanak-kanak, kita akan memastikan keselamatan mereka ini terjamin.”
Beliau berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana ia memerlukan pandangan bersama Kementerian Luar bagi menangani isu pelarian.
“Kita telah pun bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri kerana bila isu berkaitan dengan bukan warga asing ini, kita perlu mendapatkan pandangan bukan saja daripada KDN ,tetapi juga Kementerian Luar.”
Bagaimanapun, Yeoh tidak senang dengan jawapan itu dan menegaskan pertanyaannya belum dijawab.
Yeoh, pada waktu pertanyaan, bertanya apakah kerajaan sudah menemui UNHCR susulan laporan mengenai pelarian diusir tuan rumah.
Beliau ingin tahu langkah penyelesaiannya kerana pengusiran itu akan meningkatkan jumlah gelandangan.
Yeoh juga memberitahu Dewan Rakyat, perkara itu sudah mencapai tahap kritikal kerana beberapa pihak berkuasa tempatan memaklumkan tuan rumah supaya tidak menyewakan premis mereka kepada pelarian.
“Kita sudah dapat gambar viral di WhatsApp, kanak-kanak dan juga keluarga pelarian ini, semua telah dikeluarkan daripada rumah dan mereka tiada tempat tinggal.
“Jadi, ini akan menimbulkan satu isu keselamatan, kalau tidak ada koordinasi antara MKN (Majlis Keselamatan Negara) dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga UNHCR.”
Namun, kerana kesuntukan masa, Timbalan Speaker, Rashid Hasnon mencelah dengan berkata, jawapan menteri perlu diterima seadanya kerana ia bukan sesi perbahasan.