Sekolah memandu dibenar beroperasi semula

Sekolah memandu dibenar beroperasi semula

Waktu operasi sekolah memandu mulai 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

Waktu kursus dan latihan pemanduan dibenarkan bermula 8.30 pagi hingga 8 malam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekolah memandu dibenarkan beroperasi semula dari 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

“Waktu kursus dan latihan pemanduan dibenar bermula 8.30 pagi hingga 8 malam. Kapasiti pekerja juga dibenar 100%.

“Bagaimanapun, semua SOP yang ditetapkan sebelum ini mesti dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ingkar ujian kedua Covid-19

Ismail berkata, 255 individu yang mengingkari arahan menjalani ujian saringan Covid-19 kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah akan berdepan tindakan mahkamah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis sedang memantau individu terbabit.

“Mereka digesa tampil ke pejabat kesihatan daerah berdekatan untuk ujian saringan. Polis akan mengambil tindakan jika mereka masih ingkar, termasuk kompaun RM1,000 atau penjara maksimum 2 tahun.”

Beliau berkata, kerajaan memandang serius kegagalan mematuhi SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan jangkitan kepada individu lain seperti di Melaka, di mana individu terbabit tiada dalam bilik ketika kuarantin rumah dan menjangkiti bapanya.

“KKM sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat individu terbabit.”

Solat Jumaat

Ismail berkata, kerajaan membenarkan solat Jumaat diadakan di luar bangunan masjid.

“Kita benarkan solat di bawah khemah di luar masjid, dengan syarat ia berada dalam kawasan pagar masjid dan setiap individu perlu mematuhi penjarakan sosial, termasuk pemeriksaan suhu badan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.