
Kementerian Kesihatan wilayah Tierra del Fuego pada Isnin berkata, kapal pukat tunda dinamakan Echizen Maru dilaporkan kembali ke pelabuhan selepas beberapa anak kapalnya mula menunjukkan simptom Covid-19,
Menurut kementerian itu, 57 kelasi daripada 61 anak kapal, disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian baru.
Bagaimanapun, semua anak kapal diarah menjalani kuarantin 14 hari di sebuah hotel di bandar Ushuaia. Sebelum itu, kementerian itu berkata, keputusan ujian mereka negatif.
Jawatankuasa Operasi Kecemasan wilayah itu berkata, 2 kelasi negatif Covid-19, 2 menunggu keputusan ujian saringan dan 2 lagi dimasukkan ke hospital.
“Sukar menentukan bagaimana mereka dijangkiti, memandangkan selama 35 hari mereka tidak berhubungan dengan darat dan bekalan hanya dibawa dari Pelabuhan Ushuaia,” kata Pengarah Penjagaan Kesihatan Utama di Tierra del Fuego, Alejandra Alfaro.
“Satu pasukan sedang meneliti ‘kronologi simptom dihadapi anak kapal bagi menentukan kronologi penularan’.”
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit di Hospital Wilayah Ushuaia, Leandro Ballatore percaya ini “kes yang berbeza sama sekali daripada semua penjelasan dalam penerbitan (perubatan) kerana tempoh lama inkubasi ini belum dijelaskan di mana-mana”.
“Kami belum dapat menjelaskan bagaimana gejala itu muncul,” kata Ballatore.
Anak kapal itu diasingkan ketika berada di atas kapal, sebelum kembali ke Pelabuhan Ushuaia.
Argentina mencatatkan lebih 100,000 kes Covid-19 dengan 1,859 kematian setakat Ahad lalu. Majoriti kes itu berlaku di Buenos Aires.