Bekas pembantu Anwar selar NGO ‘dwi standard’ berkait kes cabul

Bekas pembantu Anwar selar NGO ‘dwi standard’ berkait kes cabul

Yusoff Rawther berkata NGO yang mendesak polis menyiasat dakwwan seksual terhadap seorang aktivis Muslim membisu mengenai kes yang melibatkan bekas majikannya.

Muhammed Yusoff Rawther mempersoalkan NGO yang mendiamkan diri berhubung dakwaannya terhadap Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Lelaki yang mendakwa beliau dicabul oleh Anwar Ibrahim menuduh beberapa NGO bersikap “dwi standard” berikutan beberapa kenyataan yang mendesak pihak berkuasa menyiasat seorang aktivis Muslim terkenal mengenai aduan serupa yang dibuat pada Februari.

Muhammed Yusoff Rawther, yang laporan polisnya tahun lalu terhadap presiden PKR itu memulakan satu siasatan jenayah yang lengkap dengan ujian poligraf berkata, beliau bingung dengan reaksi Kumpulan Tindakan untuk Kesaksamaan Gender (JAG) yang mendesak polis supaya tidak menangguhkan siasatan terhadap siri tuntutan yang dibuat terhadap aktivis tersebut.

JAG, sebuah badan yang menyatukan beberapa kumpulan wanita, juga meminta agar pelaku yang didakwa digantung daripada tugas rasminya sementara menunggu siasatan selesai.

Yusoff bertanya mengapakah tidak ada gesaan seperti itu ketika beliau membuat laporan gangguan seksual terhadap Anwar.

“Mengapakah NGO tidak menuntut agar Anwar mengambil cuti sehingga siasatan selesai?” soalnya.

Semalam, polis menyoal aktivis terbabit berdasarkan laporan yang dibuat oleh seorang doktor pelatih lelaki pada Februari yang mendakwa beliau dicabul.

Aktivis itu membantah keras tuduhan tersebut dengan berkata, beliau diugut oleh pihak tertentu yang ingin mengambil alih NGO yang ditubuhkannya.

“Mereka memberi kata dua supaya saya berundur atau mereka akan dedahkan dakwaan bahawa saya mencabul seorang doktor pelatih.” katanya kepada FMT semalam.

Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna SM Mohamed Idris, mempersoalkan kumpulan masyarakat sivil yang mendesak agar siasatan segera dilakukan terhadap kes gangguan seksual terbaru dengan berkata, mereka “tidak langsung bersuara” ketika beliau membuat laporan.

“Datuk saya adalah pelopor gerakan NGO di Malaysia. Beliau tidak pernah lari daripada bercakap mengenai ketidakadilan dan beliau mengajar saya perkara yang sama. Tidak kira bangsa, kepercayaan atau politik, beliau selalu tegas berhubung keadilan,” tambahnya.

Yusoff, yang bekerja sebagai pembantu penyelidik di pejabat Anwar di Petaling Jaya hingga Jun tahun lalu, mengambil ujian poligraf yang dijalankan oleh polis.

Bagaimanapun, pihak polis belum mengumumkan hasil ujian tersebut.

Anwar bagaimanapun enggan mengambil ujian sama dengan berkata, pihak yang menuduhlah yang harus membuktikan beliau bercakap benar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengumumkan pihaknya tidak akan meneruskan kes jenayah terhadap Anwar dengan berkata, ia tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuat pertuduhan.

Sementara itu, pemimpin PKR itu berkata, beliau tidak akan memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff.

Yusoff berkata, NGO terbabit “bersikap hipokrit dan tidak bertanggungjawab” kerana “memilih-milih kes yang hendak disuarakan dan yang perlu diabaikan”.

“Sekurang-kurangnya, kenapakah NGO berkenaan tidak memberikan sokongan moral kepada saya, sebagai mangsa?

“Saya menegaskan bahawa eksploitasi perjuangan untuk tujuan kepentingan diri adalah perbuatan yang memalukan dan mengaibkan ke atas aktivisme itu sendiri,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.