
Sebanyak 3,075.45 hektar daripadanya adalah hasil pemansuhan geran komunal bagi 9 kampung di Sook di sini; 1,395.99 hektar pula adalah hasil pengukuran tanah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas); manakala 1,953.07 hektar lagi menerusi permohonan tanah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di sini Shafie berkata, penyerahan geran itu bertujuan membolehkan penduduk kampung mempunyai geran, sekali gus menasihatkan mereka supaya tidak menjual tanah sebaliknya mengusahakannya bagi meningkatkan sumber ekonomi.
Penduduk kampung juga perlu menjaga dan memelihara tanah berkenaan bagi memastikan mereka mempunyai aset untuk diwariskan kepada generasi seterusnya, katanya.
Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan seluas 15.818 hektar tanah diwartakan untuk 3 kampung, iaitu Kampung Serumpun (5.12 hektar); Kampung Kiritkot Baru (2.228 hektar) dan Kampung Linsudan (8.47 hektar).