
Malah, Proton Saga yang dilancarkan sebagai kereta kebangsaan pertama ketika itu menjadi kebanggaan rakyat dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia sebagai antara negara pengeluar kereta sendiri.
Selepas hampir 4 dekad, Proton Saga hari ini meraikan ulang tahun ke-35, dan bagi menghargai sokongan rakyat, Proton melancarkan model edisi khas.
Terhad kepada 1,100 unit, model istimewa itu ditawarkan pada harga bermula RM39,300 sama seperti Saga Premium AT sedia ada selepas ditolak rebat cukai jualan.
Model ikonik itu ditawarkan dengan kombinasi warna hitam dan kuning eksklusif pada segmen luaran dan dalaman.
Hadir sama dengan model edisi ulang tahun itu pakej aksesori termasuk “front skirting”, “side skirting”, “door visor”, “hood insulator”, “trunk lid cover” dan “boot tray” yang berharga RM2,035.
Bagi pemilik model Saga 2019, mereka boleh membeli aksesori berkenaan secara berasingan pada harga RM315, penjimatan kos berbanding jika dibeli berasingan yang berjumlah RM2,350.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Li Chunrong berkata, Saga edisi ulang tahun hadiah istimewa pada hari yang istimewa untuk rakyat Malaysia.
“Ditambah pula dengan harga tanpa cukai jualan, pengguna boleh meraikan 35 tahun Proton Saga yang memacu rakyat dengan Intelligent Proposition yang lebih bermakna,” katanya pada sesi pelancaran Proton Saga edisi ulang tahun secara maya di Facebook Proton hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Radzaif Mohamed berkata, 35 tahun lalu bukti dedikasi Proton menghasilkan produk seperti yang rakyat impikan.
“Untuk beberapa dekad akan datang, kami menumpukan untuk memberikan produk, perkhidmatan, dan pengalaman lebih berkualiti,” katanya.
Proton Saga edisi khas turut didatangkan dengan tambahan hadiah iaitu penapis kabin N95 Proton, yang mana sebelum ini hanya terdapat pada Proton X70, selain bakal diketengahkan pada model Saga, Persona, Iriz, dan Exora bermula hari ini.
Pemilik sedia ada mempunyai pilihan untuk membeli penapis kabin N95 pada harga RM59, tidak termasuk caj pekerja. Untuk masa terhad sehingga 9 Okt ini, terdapat 15% diskaun bagi harga penapis N95.
Sejak diperkenalkan 35 tahun lalu, Proton Saga sudah terjual sebanyak 4,150,035 unit.