
Ketua pegawai penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, hasil maklumat diterima daripada orang awam, rumah itu dijadikan stor transit barang kawalan berkenaan bagi aktiviti penyeludupan.
Beliau berkata, intipan dilakukan bermula 6 petang semalam oleh 4 pegawai KPDNHEP Kelantan dan 5 anggota pasukan polis marin (PPM).
“Pemantauan dan risikan mendapati barang kawalan itu akan dibawa ke negara jiran melalui jalan sungai pada waktu malam.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut pada 9.30 malam tadi menemukan minyak masak, tepung gandum dan gula bernilai RM1,521.80 yang disimpan di ruang tamu.
“Wanita berusia 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azanizam berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen sah, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan aduan jika mengesyaki berlaku sebarang aktiviti penyeludupan, khususnya di kawasan sempadan.
“KPDNHEP Kelantan dengan kerjasama agensi sempadan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran dapat dibanteras,” katanya.