Kakitangan universiti di Sabah diminta bercuti tanpa gaji atau letak jawatan

Kakitangan universiti di Sabah diminta bercuti tanpa gaji atau letak jawatan

Kakitangan UCSF diminta membuat keputusan dengan mengisi borang yang disertakan dalam memo bertarikh 30 Jun sebelum tengah hari esok.

Kolej Universiti Yayasan Sabah ialah anak syarikat Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri yang mempunyai hampir 200 kakitangan dan 400 pelajar ketika ini.
KOTA KINABALU:
Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) meminta kakitangan yang tidak bersetuju dengan langkah pengurangan kos untuk mengambil cuti tanpa gaji atau meletak jawatan.

Pilihan itu terkandung dalam memo bertarikh 30 Jun yang disampaikan Naib Canselor UCSF, Mohamed Haleem Mohamed Razi kepada kakitangan kolej berkenaan.

“Anda sepatutnya membuat keputusan melalui borang yang disertakan dalam memo ini kepada Jabatan Sumber Manusia kolej sebelum tengah hari 2 Julai,” katanya dalam memo yang dilihat FMT.

Dalam memo terdahulu bertarikh 15 Jun lalu, Haleem meminta 200 kakitangan USCF menerima pemotongan gaji sebanyak 50% susulan masalah kewangan yang dihadapinya akibat pengambilan pelajar baru yang rendah.

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan kakitangan bercuti tanpa gaji mulai Oktober ini, jika kedudukan kewangan kolej tidak bertambah baik selepas pengambilan pelajar pada September ini.

UCSF hanya mencapai 18% daripada sasaran pendaftaran pelajar pada April lalu.

Haleem sebelum ini berkata, universiti itu memperoleh jutaan ringgit daripada pengambilan pelajar terdahulu.

UCSF yang ditubuhkan pada 2013 adalah anak syarikat Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri yang mempunyai hampir 200 kakitangan dengan 400 pelajar ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.