11 Sept dengar hujah kes rasuah Ku Nan sebelum keputusan

11 Sept dengar hujah kes rasuah Ku Nan sebelum keputusan

Pihak pembelaan menutup kesnya hari ini selepas memangil 4 saksi.

Mahkamah menetapkan 11 Sept untuk mendengar hujah lisan pihak pembelaan dan pendakwaan sebelum memutuskan sama ada Ahli Parlimen, Tengku Adnan Tengku Mansor akan disabitkan atas pertuduhan menerima rasuah atau dibebaskan.
KUALA LUMPUR:
Pihak pembelaan yang mewakili bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah RM2 juta menutup kesnya hari ini selepas memanggil 4 saksi pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 11 Sept untuk mendengar hujah lisan kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada ahli Parlimen Putrajaya itu akan disabitkan atas pertuduhan menerima rasuah atau dibebaskan.

Hakim juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis pada atau sebelum 14 Ogos dan memfailkan hujahan balasan pada atau sebelum 4 Sept.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan menutup kes selepas saksi pembelaan ke-4, Ketua Umno Simpang Renggam, Zakaria Dullah selesai memberi keterangan.

Tengku Adnan, 69, yang lebih dikenali sebagai “Ku Nan”, selesai memberi keterangan bela diri pada 5 Mac lepas, selepas memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Jan.

Pada peringkat pendakwaan pula, seramai 23 saksi termasuk bekas datuk bandar Kuala Lumpur, Ahmad Phesal Talib dan Mohd Amin Nordin Abd Aziz, serta pengarah urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Chai Kin Kong dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Julai tahun lepas.

Pada 14 Okt 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam, iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.