PH gesa pengundi Chini bijak tolak calon BN

PH gesa pengundi Chini bijak tolak calon BN

Fuziah berkata, salah seorang calon Bebas, Mohd Shukri tidak mewakili aspirasi PKR kerana pernah dikenakan tindakan disiplin parti.

Pengerusi PH Pahang Fuziah Salleh sebelum ini tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan menyokong calon Bebas yang bakal bertanding menentang calon BN.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Pahang menyeru pengundi di DUN Chini supaya membuat pilihan bijak dengan menolak calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) 4 Julai depan.

Gabungan itu juga tidak membuat ketetapan supaya penyokongnya memilih calon tertentu dalam PRK itu.

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, salah seorang calon Bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli tidak mewakili aspirasi PKR kerana pernah dikenakan tindakan disiplin parti.

“Berkenaan dengan calon Bebas, PH tidak membuat ketetapan berkenaan calon mana yang harus diberi sokongan.

“Namun saya ingin menjelaskan bahawa calon (Mohd) Shukri tidak mewakili aspirasi dan pendirian PKR kerana beliau pernah dikenakan tindakan disiplin oleh parti suatu ketika dahulu,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini Fuziah berkata, PH Pahang akur dengan keputusan pucuk pimpinan pusat gabungan itu untuk tidak bertanding dalam PRK Chini.

Beliau tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan menyokong calon Bebas yang bakal bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN).

Bekas pengerusi PPBM, Mahathir Mohamad sebelum ini menyeru pengundi Chini supaya memberi undi kepada calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin yang merupakan bekas pemimpin akar umbi parti itu.

Menteri ‘terpaksa’ bantu calon BN

Mengulas perjalanan PRK Chini, Fuziah berkata, calon BN berdepan tentangan hebat walaupun PKR tidak meletakkan calon.

“Buktinya ialah apabila ramai menteri terpaksa turun padang untuk membantu kempen beliau.

“Saya harap penyokong PH serta ahli PKR khususnya akan membuat pilihan yang tepat dalam memilih calon yang akan mewakili suara mereka di DUN itu kelak,” katanya yang juga merupakan pengerusi PKR Pahang.

Fuziah turut mendakwa bahawa sepanjang pentadbiran BN selama ini, isu bekalan air di Chini gagal diselesaikan.

“Isu tasik Chini yang begitu tercemar sehingga ikan pun tidak boleh dimakan. Isu perlombongan tidak terkawal. Isu orang asli yang terus miskin. Terlalu banyak isu yang tidak selesai walau setelah 60 tahun BN memerintah,” katanya.

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri.

Chini adalah antara 4 kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada PRU 2018 meraih majoriti besar 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili PH yang meraih 1,065 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.