Shafie sebagai PM atasi kebuntuan Mahathir-Anwar, kata DAP Sarawak

Shafie sebagai PM atasi kebuntuan Mahathir-Anwar, kata DAP Sarawak

Chong Chieng Jen berkata, ia adalah alternative ke-3 bagi PH dalam menghadapi PRU ke-15.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, penamaan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri dapat mengatasi kebuntuan tentang individu yang akan memimpin PH dalam PRU ke-15.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menyokong cadangan untuk menamakan presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai alternatif ke-3 yang boleh mengatasi kebuntuan dalam PH antara Dr Mahathir Mohamad dengan presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai individu yang patut menjadi perdana menteri bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Chong berkata, Shafie memperlihatkan “pendirian berprinsip” terhadap kleptokrat dalam Umno.

Katanya, Shafie keluar Umno sebelum pilihan raya umum ke-14 kerana beliau membantah penjarahan dana awam yang menyebabkan Warisan menentang Barisan Nasional (BN).

Chong juga berkata, Shafie juga boleh membantu membina semula hubungan kaum dan agama yang lebih harmoni dengan semenanjung Malaysia, tidak seperti ahli politik seperti pemimpin Umno dan PAS yang akan “menggunakan kaum dan agama” untuk meraih keuntungan politik.

Beliau berkata, penaman Shafie sebagai calon perdana menteri juga boleh merapatkan jurang pembangunan antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, selain membantu negeri terbabit mendapatkan lebih banyak hak.

“Sememangnya kebanyakan penduduk Malaysia Timur berasa terkilan bahawa kita diabaikan selama lebih 50 tahun sejak kelahiran Malaysia.

“Sentimen tersebut membawa kepada kelahiran gerakan pemisah di 2 negeri itu.

Chong berkata, Muhyiddin Yassin terus memperkukuhkan kedudukan beliau dalam Perikatan Nasional (PN) dan merancang untuk “menjatuhkan beberapa kerajaan negeri pimpinan PH”.

“DAP boleh menunggu selama 3 atau 6 bulan, malah sehingga pilihan raya umum akan datang, tetapi kita percaya Malaysia tidak boleh bertahan hatta selama 1 bulan lagi dengan kerajaan PN memusnahkan sistem negara ini.”

Beliau berkata, kebuntuan tentang calon perdana menteri selepas ini mencetuskan kesan tidak baik terhadap niat PH untuk menjatuhkan Umno dan PAS daripada kerajaan pusat.

Katanya, dalam tempoh hanya 3 bulan, kerajaan PN telah menyalahgunakan kedudukan kementerian dan pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkukuh kedudukan politik mereka.

“Malaysia kini menyaksikan bukan sahaja kembalinya pemerintahan lama BN, tetapi lebih buruk lagi.”

Semalam Mahathir mendedahkan bahawa kumpulannya bersetuju menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

Beliau berkata, penamaan Shafie turut dipersetujui oleh pemimpin Amanah, DAP dan Warisan.

Pemimpin Amanah dan DAP kemdiannya berkata, parti mereka belum membincangkan cadangan mencalonkan Shafie sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan bersama, presiden Amanah Mohamad Sabu dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh pemimpin parti masing-masing sebelum membawanya ke Majlis Presiden PH untuk keputusan sebulat suara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.