RUU gangguan seksual, kerja sosial dibentang akhir tahun

RUU gangguan seksual, kerja sosial dibentang akhir tahun

Rina Harun berkata, kedua-dua draf RUU itu sudah dibuat penambahbaikan dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Rina Harun berkata, aspek paling penting dalam semua dasar ialah pelaksanaan yang bukan saja melibatkan kementerian, tetapi juga negeri disebabkan undang-undang berbeza di kedua-dua peringkat.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual serta profesion kerja sosial selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menterinya, Rina Harun berkata, kedua-dua draf RUU itu sudah dibuat penambahbaikan dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

“Kita akan cuba bentang dalam sesi Parlimen tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya berhubung pelancaran insentif Penjana khusus untuk kanak-kanak, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan komuniti.

Beliau berkata, KPWKM mempunyai pelbagai dasar, tetapi ia perlu diperhalusi, termasuklah Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Warga Emas Negara.

“Aspek paling penting segala dasar ialah pelaksanaan. Dalam hal ini, ia bukan saja melibatkan kementerian, bahkan negeri-negeri kerana terdapat undang-undang yang berbeza di kedua-dua peringkat.

“Setiap masyarakat juga perlu memahami undang-undang yang diwujudkan untuk kebaikan keseluruhan.”

Kerja dari rumah

Ditanya jika ada cadangan untuk wanita, khususnya ibu mempunyai anak kecil untuk meneruskan normal baru bekerja dari rumah (BDR), beliau berkata, perkara itu memerlukan perbincangan lanjut membabitkan ramai pihak.

“Cuma buat masa sekarang, BDR telah dipraktikkan dan bermaksud pekerjaan dari rumah pun boleh dijalankan. Namun untuk dilaksanakan, kita perlu perbincangan lanjut kerana ada yang boleh dibuat di rumah dan ada yang perlu turun ke lapangan.

“Seperti warga KPWKM, dengan jumlah kakitangan kurang daripada 9,000 orang, kira-kira 5,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang perlu turun padang untuk menyampaikan bantuan, terutama di kawasan pedalaman yang tiada akses internet.

“Namun begitu, saya mengambil kira pandangan ini, apa yang dipraktikkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) (merujuk kepada BDR) sebagai sesuatu yang positif. Mungkin kita boleh fikirkan kaedah lebih baik kepada mereka yang mempunyai anak kecil yang memerlukan lebih perhatian.”

Beliau menyuarakan penghargaan kepada kakitangan kementerian itu, khususnya JKM yang menjaga kebajikan masyarakat pelbagai peringkat sewaktu krisis Covid-19.

Sokongan psikologi

Mengenai perkhidmatan telekaunseling melalui Talian Kasih yang diwujudkan kementerian itu, beliau berkata, ia turut membantu memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan, termasuk ketika PKP.

“Kita menerima lebih 2,000 panggilan berkaitan telekaunseling dalam tempoh PKP. Ada yang tertekan sebab tak biasa duduk di rumah, ditambah pula keadaan rumah sempit dengan penghuni yang ramai.

“Mereka ini akan diberikan bantuan kaunseling oleh kaunselor yang terdiri daripada 538 orang di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan JKM di seluruh negara.”

Talian Kasih KPWKM beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan boleh dihubungi melalui 15999 atau WhatsApp 019-2615999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.