
Wanita itu sedang ditahan dan disiasat berhubung kesahihan visanya.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Nigeria memberitahu FMT, dakwaan rogol itu menyebabkan wanita terbabit cedera dari segi fizikal dan psikologi.
“Ada keperluan untuk pampasan dan hukuman atas ketidakadilan itu.”
Seorang lelaki berusia 44 tahun direman mulai 21 hingga 26 Jun lalu, manakala 3 lagi suspek diburu polis berhubung dakwaan merogol wanita terbabit.
Jurucakap suruhanjaya itu berkata, seorang pegawai konsulat ke balai polis yang menguruskan kes itu dan bercakap dengan wanita terbabit serta pegawai penyiasat.
Katanya, wanita itu mungkin ialah mangsa pemerdagangan manusia atau bentuk lain jenayah terancang antarabangsa.
Suruhanjaya tinggi itu sedang mengumpul maklumat mengenai kes itu dan akan menyerahkan nota diplomatik kepada Kementerian Luar Malaysia.
“Kami akan berbuat demikian menjelang hujung minggu ini,” kata jurucakap itu.
Pada 24 Jun lalu, polis dilaporkan berkata, wanita itu direman 14 hari mulai 10 Jun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Katanya, wanita terbabit ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai.